Monday, May 16, 2011

~~Selamat Hari Guru...(^_^)...~~


Assalamualaikum wbt….

Entry kali ni aku tujukan khas buat insan yang amat istimewa dan banyak berjasa buat kita semua, siapa lagi kalau bukan GURU…Ya, insan inilah yang banyak menabur bakti kepada kita semua, tak kira penat lelah dan rasa putus asa dalam usaha mendidik dan mengajar kita dari sebuah tin kosong menjadi insan yang berjaya. Tak kiralah apa jua panggilan kita buat mereka, sama ada guru/cikgu/teacher/encik/mam dan sebagainya, jasa mereka pada kita amatlah besar dan tak ternilai rasanya, malah belum tentu kita mampu membalas kembali jasa-jasa tesebut. Tanpa didikan mereka, belum tentu kita akan berada pada tahap yang kita duduki sekarang. Jadi janganlah kita semua melupakan jasa mereka pada kita, kerana mereka ibarat ibu bapa kedua kita selepas ibu dan bapa kandung kita. Moga guru-guru di Malaysia khasnya dan guru-guru di seluruh dunia umumnya akan terus berusaha mendidik anak bangsa tanpa rasa putus asa dan penat lelah…

“Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosa guru-guru yang pernah mendidikku, permudahkanlah segala urusan mereka di dunia dan di akhirat, tabahkanlah hati mereka agar mereka terus kuat untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang berjaya dan berilah balasan yang baik buat mereka, kerana tanpa mereka, belum tentu aku mampu berdiri dengan kaki sendiri di tahap yang aku berada sekarang…Hanya Engkaulah yang mampu membalas segala jasa-jasa mereka padaku selama ini…Amin Ya Rabbal A’alamin…”

Buat semua guru-guru di luar sana, SELAMAT HARI GURU…hanya doa dari jauh yang mampu aku tujukan buat kalian…moga kalian semua sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah…Insyaallah….=)

Dan hayatilah puisi di bawah ini, karya dari Sasterawan tersohor Negara, Allahyarham  Dato’ Usman Awang…


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979


Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)

“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Hajj 22: Ayat Ke 54)




Selamat Hari Guru!!!...


Wallahua’alam…

No comments:

Post a Comment