Tuesday, February 7, 2012

~~Untuk mereka yang putus cinta~~

Assalamualaikum wbt…=)

Anda pernah bercinta? Cinta ada berbalas? Anda akan/telah berkahwin dengan gadis/jejaka yang anda cintai? Alhamdulillah…Bersyukurlah dengan anugerah yang Allah berikan kepada anda iaitu nikmat percintaan yang berkekalan sampai ke alam perkahwinan. Moga rumahtangga yang anda semua bina akan berkekalan selamanya, Insyaallah…=)

Tapi bagaimana dengan anda yang cintanya tak dibalas? Bercinta tapi cinta yang disemai putus di tengah jalan? Bersedih? Ya..sedih kerana putus cinta tu memang lumrah. Itu fitrah kejadian manusia. Entri blog aku kali ni bukan nak promote pasal cinta atau couple2 semua..sebab kalau nak bahas pasal couple ni nanti banyak isu pulak yang timbul. Cuma aku nak berkongsi serba sedikit dengan mereka yang gagal dalam bercinta akibat direject oleh orang yang dicintai. Bukanlah untuk memotivasikan sesiapa pun, tetapi lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Entri ni hanya sesuai untuk mereka yang bercinta dan punya perancangan untuk mendirikan rumahtangga secara sah, bukan untuk mereka yang bercinta dengan suka-suka tanpa ada tujuan yang dituntut syariat. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, "Haram mencintai seorang wanita kalau anda tiada niat untuk memperisterikannya.”

Sememangnya perit kalau bercinta tapi cinta yang diharapkan kekal sampai ke alam perkahwinan tu putus di tengah jalan. Hanya mereka yang pernah melaluinya ja yang akan merasai keperitan tu. Apatah lagi mereka yang bercinta bertahun-tahun lamanya, keluarga kedua-dua belah pihak pun sudah saling mengenali, ada yang dah sampai bertunang dan sebagainya, tapi tak kesampaian untuk mendirikan rumahtangga. Dan yang paling perit kalau cinta yang putus tu adalah cinta pertama kita. Ya, memang wajar kalau seseorang tu bersedih andai apa yang aku sebutkan tadi tu berlaku padanya. Sebab yang macam aku sebutkan tadi, kesedihan tu sesuatu yang fitrah.


 

Tetapi cuba kita renungkan balik, adakah perlu kita bersedih dan meratapi kegagalan tu sampai bagi efek yang buruk dekat diri kita? Bersedih sampai kita tak boleh nak bekerja dan belajar seperti biasa? Bersedih sampai tak selera nak makan, tak boleh nak tidur, kesihatan terjejas dan kehidupan jadi tak terurus? Bersedih sampai prestasi kerja makin menurun, study jadi tunggang langgang? Kalau itu yang berlaku, maka cepat-cepatlah anda sedarkan diri anda, kerana sesungguhnya anda hanya membuang masa dan menjerumuskan diri anda ke sesuatu yang memudharatkan diri anda sendiri. Anda tak perlu bersedih sampai jadi macam tu, seolah-olah hanya dia yang anda perlu fikirkan tanpa memikirkan hal-hal lain yang lebih penting, sedangkan belum tentu dia akan berfikir seperti mana anda sedang fikirkan tentangnya.

Yakinlah, Allah menjadikan sesuatu bukan secara sia-sia, tapi pasti ada hikmah disebaliknya. Hikmah yang suatu hari nanti anda akan menyedarinya sendiri. Bagi mereka yang putus cinta, bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar. Dan sabar itu juga merupakan sebahagian daripada iman. Nah, itulah salah satu hikmahnya disebalik apa yang terjadi. Adakah anda akan bersabar, atau sebaliknya dengan ujian yang Allah berikan tu? Tepuk dada, tanya iman. Boleh jadi itulah tarbiyah yang Allah ingin berikan kepada anda, sebagai tanda Dia masih sayangkan anda. Sesungguhnya, sekiranya Allah sayangkan hambanya, Dia akan sering menguji tahap keimanan hambaNya itu. Andai kita bersabar, maka beruntunglah kita, Insyaallah.
 
Mungkin Dia ingin anda kembali kepadaNya, dengan memalingkan cinta manusia dari anda. Kerana selama ni anda terlalu sibuk bercinta dengan orang yang anda cintai sampai terlupa tentang cinta kepadaNya. 

Boleh jadi juga, Allah ingin anda terus memperbaiki diri supaya menjadi manusia yang lebih baik, yang lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar bila mendirikan rumahtangga nanti. Sebab rumahtangga bukanlah hanya semata-mata kehidupan untuk bersuka-suka sesama suami isteri, tetapi ia lebih daripada itu, iaitu tanggungjawab. 

Jadi andai anda sedang atau pernah putus cinta, bersyukurlah kerana sesungguhnya anda telah menerima satu anugerah daripada Allah, anugerah yang sepatutnya menjauhkan diri daripada kemaksiatan, dan mendekatkan diri kepada Allah. Ingatlah, cinta Allah itu yang lebih hakiki dan tidak pernah mengecewakan. Kejarlah cintaNya, Insyaallah Dia akan membantu kita untuk mendapatkan cinta manusia. Ambil kesempatan yang Allah berikan ni untuk memperbaiki diri, dan buktikan kepada mereka yang mereject anda bahawa sesungguhnya mereka telah rugi sebab mereka telah kehilangan cinta dari orang yang baik dan hebat. Buktikan yang anda mampu menjadi lebih baik tanpanya di sisi. Bukan niat untuk membalas dendam, tapi cukup sekadar untuk memotivasikan diri sendiri, supaya apa yang berlaku tidak melemahkan semangat kita, sebaliknya lebih menguatkan kita. Ingatlah bahawa ujian yang datang itu akan menjadikan diri kita lebih matang dan dewasa dalam kehidupan.




Yakinlah, jika memang dia jodoh anda, dia akan kembali kepada anda. Sandarkan harapan dan keyakinan itu kepada Allah, pemilik segala hati. Kerana andai memang betul dia jodoh anda, walau 1000 tangan sekalipun yang menghalang, dia akan tetap menjadi milik anda; sebaliknya jika dia bukan jodoh anda, walau 1000 tangan sekalipun yang cuba membantu, dia tetap akan pergi dari anda.




Bangkitlah dan sedarkan diri anda daripada kesedihan yang panjang. Ceriakan kembali hidup anda, teruskan dan selesaikan tanggungjawab yang ada, perbaiki diri dan berdoa serta bertawakkal lah kepada Allah, yang selebihnya, biar Allah yang uruskan untuk anda. Insyaallah satu hari nanti, jodoh yang baik akan menjadi milik kita. Yakinlah! 
 

Wallahua’alam.

2 comments: