Wednesday, February 29, 2012

~~Justifikasi akidah & hikmah disebalik ujian Allah~~


Assalamualaikum wbt…

Anda pernah ditimpa ujian? Pernah rasa putus asa bila dugaan yang dirasakan hebat tak berhenti-henti datang dalam hidup? Pernah rasa putus asa kerana apa yang dihajati gagal dimiliki? Mesti pernah kan? Tipulah kalau kata tak pernah. Sebab sememangnya itu adalah rencah kehidupan kita sebagai manusia@hamba di muka bumi Allah ni. Kita selalu mempersoalkan sesuatu apabila apa yang kita mahukan, usahakan dan doakan gagal untuk kita dapatkan. Dan akan timbul pula persoalan, salahkah aku berdoa begitu dan begini, padahal niat aku baik? Walaupun persoalan itu lebih kepada andaian, tetapi kita boleh menjawabnya dengan satu kepastian. Jawapannya adalah jika niat kita baik dan ikhlas, Allah akan memperkenankan doa yang terbaik untuk kita. Boleh jadi Allah perkenankan doa kita tu dalam bentuk sebaliknya, iaitu dengan tidak memberikan apa yang kita hajati, sebab ternyata itulah yang terbaik untuk kita. 

Mesejnya di sebaliknya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Walaupun kita dituntut untuk berusaha dan berdoa, semuanya akan kembali kepada ketentuan Allah. Maka di situ lah wujudnya istilah tawakkal. Tawakkal adalah berserah sepenuhnya keyakinan kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa. Dan bukan beriktikad (berkeyakinan) bahawa usaha dan doa kita itu penentu kepada segalanya, tetapi usaha hanyalah medium untuk kita mendapatkan apa yang dihajati. Dengan akal, manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Namun sebijak mana pun akal, kemampuan kita tetap terbatas. Jadi manusia memerlukan wahyu untuk membimbing akalnya. Dalam bahasa lainnya, manusia yang serba tidak tahu ni memerlukan Allah Yang Maha Tahu untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup, dunia wal akhirah. 

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik untuk kamu, dan ada perkara yang kamu suka padahal ia buruk bagi kamu. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 216)

 
“Allah tidak membebani seseorang melainkan  sesuai dengan kesanggupannya” (Al Baqarah: 286)


Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran kita setiap kali kita berhadapan dengan apa-apa jua persoalan dan permasalahan hidup. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja keputusan, tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Allah menentukan yang baik dan yang buruk, yang betul dan yang salah, serta yang benar dan yang batil. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas yang telah Allah tetapkan.






Kita selalu mendengar istilah ‘setiap dugaan pasti ada hikmahnya’. Jika akal belum nampak hikmahnya, ia bukan bererti ujian yang kita sedang lalui itu tidak baik, tetapi akal bagi sesetengah manusia yang belum melihat kebaikkannya. Analoginya, sama macam kita tidak nampak semua bintang yang ada di langit, namun tak bermakna bintang tu tidak ada ataupun tidak bercahaya, tetapi mungkin disebabkan pandangan kita ditutupi awan ataupun pandangan mata kita yang tidak berupaya melihat benda yang jauh sebab rabun. Allah tidak akan menjadikan sesuatu secara sia-sia. Itu pasti. Dan ujian yang datang melanda kita juga pasti bukan sesuatu yang sia-sia. Ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan pada kita, cuma masa yang akan menentukan bila kita akan melihat kebaikan dan hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Kesimpulannya, walau apapun yang kita fikirkan, soal hukum dan justifikasi akidah harus kita ambil kira dan beri perhatian. Moga ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita, akan menjadi tarbiyah yang akan mendekatkan diri kita kembali kepada Nya, dan bukan menjadikan diri kita lebih jauh dan kufur kepada Nya. 


“ Kadangkala Allah hilangkan matahari, kemudian Dia datangkan guruh. Puas kita menangis mencari di mana matahari kita, rupa-rupanya Allah ingin menghadiahkan kita pelangi yang indah. Sabarlah wahai hati, ada kemanisan di sebalik kepahitan.”


  


Wallahua’alam…