Thursday, March 1, 2012

~~Berbalaskah Cintaku?~~

Assalamualaikum wbt…

Kita sering mengucapkan cinta kepada Allah. Tetapi pernahkah kita terfikir, adakah Allah juga cintakan kita? Ramai manusia yang mengharapkan dirinya jatuh cinta, lalu setelah merasakan dirinya dicintai, membalas pula huluran kasih dengan cinta yang serupa, maka jadilah mereka dua insan yang bercinta dan saling mengasihi. Alangkah indahnya apabila kasih yang diberi dibalas dengan cinta yang sejati. Sebaliknya apabila cinta yang diberi tidak dihiraukan dan kasih kita dipandang sepi, ibarat bertepuk sebelah tangan. Sungguh pedih dan menyakitkan perasaan!
 
Namun itu semua adalah makna cinta sesama manusia. Tentu saja tidak sama malah jauh berbeza dibandingkan cinta kepada Allah Yang Maha Mencipta. Cinta Allah bukan umpama luahan cinta seorang lelaki kepada gadis idamannya, sehingga ketika penolakan cinta yang terjadi, maka mengalirnya air mata dan hancurnya jiwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan Maha Suci daripada segala kekurangan cinta yang ada pada cinta manusia.

Seandainya cinta manusia banyak berakhir dengan kehancuran, rindu kepada pasangan yang berisi kedukaan dan penderitaan, kasih yang diharapkan hanya berbalas dengan air mata dan penghancuran jiwa yang menyakitkan, maka sesungguhnya cinta Allah adalah berbeza sama sekali dengan semua tu. Kerana sesungguhnya cinta kepada Allah pasti akan berakhir dengan kebahagiaan. Mencintai dan merindui-Nya akan berisi ketenangan dan kedamaian. Rasa kasih kepada-Nya, walaupun mengalirkan air mata, tetapi ia menghidupkan jiwa. Tetapi berapa ramai yang mengambil berat tentang ungkapan cinta kepada-Nya beriring rasa khuatir dan bimbang akan berbalaskah cinta kita kepada-Nya?

Jawapan bagi persoalan ini banyak dipengaruhi oleh bagaimana kita menemui dan memandang nilai kehidupan. Kita selalu mendengar pelbagai pendapat ketika ditanya tentang makna sebuah kehidupan di dunia ini.

Ada yang mengatakan hidup ni ibarat sebuah pentas lakonan. Banyak watak-watak yang dilakonkan mirip seperti yang menyerupai kehidupan realiti. Tapi, apa yang ditampilkan hanyalah lakonan semata-mata, bukan suatu kebenaran. Jadi bayangkanlah andai kehidupan ini disamakan dengan watak para pelakon, sudah pasti kita akan menemui ada orang yang taat kepada Allah, tetapi taatnya itu hanya suatu penyamaran. Taatnya hanya apabila ada keperluan, taatnya hanya apabila ditimpa kesusahan atau taatnya hanya semata-mata ingin mendapatkan sesuatu. Maka rugilah orang yang berpura-pura taat kerana Allah hanya akan menerima ketaatan yang didasari oleh keikhlasan dan ketulusan hati.

Ada juga yang mengibaratkan hidup ini umpama sebuah perjuangan, yang lazimnya diisi dengan sesuatu yang bersifat ‘pertempuran dan peperangan’, sehingga mereka sering terasak dengan pengisian makna yang mereka letakkan sendiri. Maka jadilah kehidupan mereka yang selalu diwarnai dengan kitadaktenangan, dan selalu merasakan mereka berada dalam persaingan. Akibatnya, ramai diantara mereka yang hidupnya jauh dari kedamaian, ketenangan dan persahabatan.

Memang benar, setiap orang berhak memiliki pandangan yang berbeza-beza tentang makna kehidupan ini, namun andai direnung secara mendalam, apalah yang ada pada sebuah lakonan yang wataknya hanyalah penyamaran. Dan apalah yang dapat dibanggakan dengan sebuah perjuangan, andai ia sekadar pertempuran yang tiada tujuan dan panduan Tuhan.

Kerana itu sudut pandang yang benar tentang sebuah kehidupan dan menepati kehendak Yang Maha Esa adalah sebuah kehidupan yang tidak lain adalah pengabdian kepada-Nya kerana seorang ‘hamba’ sangat perlu menyedari kedudukan ‘Tuannya’ yang dipandang hormat lagi mulia.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku.” (Surah Al-Dhariyat: 56)

Keadaan inilah yang memudahkan seseorang untuk menerima sebarang tanggungjawab, baik ia berupa perintah yang wajib dilaksanakan, mahupun larangan yang mesti ditinggalkan. Dia tidak akan terbeban ketika Allah mewajibkan ke atasnya untuk melaksanakan syariat, malah ketika Allah mengujinya dalam bentuk harta, lapar dan dahaga serta yang seumpamanya, maka ia melakukannya dengan rela hati dan ikhlas tanpa keluh kesah dan rasa terdera. Begitu juga ketika Allah memerintahkan agar dia menjauhkan diri daripada larangan-Nya, sungguh pun perkara itu sangat diingini oleh nafsu serta keinginannya, dia akan berusaha juga untuk menjauhinya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran: 31)

Hakikatnya ujian cinta yang Allah letakkan adalah sebagai penentu dan kayu ukur kepada kebenaran dakwaan kita bahawa kita mencintai-Nya. Berapa ramai dari kita yang mengakui beriman dan cinta kepada Allah, namun masih berani melanggar perintah dan larangan-Nya? Ditambah dengan kesibukan kita dengan urusan harian sehingga doa dan munajat kepada Allah semakin dijauhkan. Kebohongan demi kebohongan dilakukan demi mengejar tumpuan dan sokongan manusia. Tidak kurang, ada yang melakukan kerosakan atas nama perjuangan agama, bersifat perkauman dan yang lebih malang, ada yang mengutamakan kehendak nafsu sendiri daripada mengutamakan kehendak Ilahi.

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku.” (Surah al-Baqarah: 152)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, hendaklah dia mengamati kedudukan Allah dalam dirinya. Sesungguhnya Allah menempatkan hamba-Nya dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan Allah dalam dirinya.” (Riwayat al-Hakim)

Untuk itu, marilah kita sama-sama berdoa agar lafaz cinta yang kita zikirkan bukan sekadar manis dibibir saja, tetapi biarlah kita buktikan cinta tersebut melalui perakuan, perkataan dan perbuatan yang mendekatkan kita kepada Dia yang kita cintai. Sesungguhnya Allah tidak pernah sesekali akan rugi seandainya Dia tidak mendapatkan cinta daripada kita, sebaliknya, kitalah yang rugi seandainya kita tidak mendapatkan cinta dari-Nya. 





“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu; perbuatan yang memiliki banyak kebaikan, meninggalkan berbagai-bagai kemungkaran, mencintai orang miskin dan Engkau mengampuni dan menyayangiku. Dan jika Engkau menimpakan fitnah (malapetaka) bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terimbas dengan fitnah itu. Dan aku memohon kepada-Mu rasa kecintaan kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mencintai-Mu, juga cinta kepada amal perbuatan yang akan menghantarkan aku untuk mencintai-Mu.” (Riwayat Ahmad)

Wallahua’alam…

Wednesday, February 29, 2012

~~Justifikasi akidah & hikmah disebalik ujian Allah~~


Assalamualaikum wbt…

Anda pernah ditimpa ujian? Pernah rasa putus asa bila dugaan yang dirasakan hebat tak berhenti-henti datang dalam hidup? Pernah rasa putus asa kerana apa yang dihajati gagal dimiliki? Mesti pernah kan? Tipulah kalau kata tak pernah. Sebab sememangnya itu adalah rencah kehidupan kita sebagai manusia@hamba di muka bumi Allah ni. Kita selalu mempersoalkan sesuatu apabila apa yang kita mahukan, usahakan dan doakan gagal untuk kita dapatkan. Dan akan timbul pula persoalan, salahkah aku berdoa begitu dan begini, padahal niat aku baik? Walaupun persoalan itu lebih kepada andaian, tetapi kita boleh menjawabnya dengan satu kepastian. Jawapannya adalah jika niat kita baik dan ikhlas, Allah akan memperkenankan doa yang terbaik untuk kita. Boleh jadi Allah perkenankan doa kita tu dalam bentuk sebaliknya, iaitu dengan tidak memberikan apa yang kita hajati, sebab ternyata itulah yang terbaik untuk kita. 

Mesejnya di sebaliknya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Walaupun kita dituntut untuk berusaha dan berdoa, semuanya akan kembali kepada ketentuan Allah. Maka di situ lah wujudnya istilah tawakkal. Tawakkal adalah berserah sepenuhnya keyakinan kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa. Dan bukan beriktikad (berkeyakinan) bahawa usaha dan doa kita itu penentu kepada segalanya, tetapi usaha hanyalah medium untuk kita mendapatkan apa yang dihajati. Dengan akal, manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Namun sebijak mana pun akal, kemampuan kita tetap terbatas. Jadi manusia memerlukan wahyu untuk membimbing akalnya. Dalam bahasa lainnya, manusia yang serba tidak tahu ni memerlukan Allah Yang Maha Tahu untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup, dunia wal akhirah. 

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik untuk kamu, dan ada perkara yang kamu suka padahal ia buruk bagi kamu. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 216)

 
“Allah tidak membebani seseorang melainkan  sesuai dengan kesanggupannya” (Al Baqarah: 286)


Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran kita setiap kali kita berhadapan dengan apa-apa jua persoalan dan permasalahan hidup. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja keputusan, tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Allah menentukan yang baik dan yang buruk, yang betul dan yang salah, serta yang benar dan yang batil. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas yang telah Allah tetapkan.






Kita selalu mendengar istilah ‘setiap dugaan pasti ada hikmahnya’. Jika akal belum nampak hikmahnya, ia bukan bererti ujian yang kita sedang lalui itu tidak baik, tetapi akal bagi sesetengah manusia yang belum melihat kebaikkannya. Analoginya, sama macam kita tidak nampak semua bintang yang ada di langit, namun tak bermakna bintang tu tidak ada ataupun tidak bercahaya, tetapi mungkin disebabkan pandangan kita ditutupi awan ataupun pandangan mata kita yang tidak berupaya melihat benda yang jauh sebab rabun. Allah tidak akan menjadikan sesuatu secara sia-sia. Itu pasti. Dan ujian yang datang melanda kita juga pasti bukan sesuatu yang sia-sia. Ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan pada kita, cuma masa yang akan menentukan bila kita akan melihat kebaikan dan hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Kesimpulannya, walau apapun yang kita fikirkan, soal hukum dan justifikasi akidah harus kita ambil kira dan beri perhatian. Moga ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita, akan menjadi tarbiyah yang akan mendekatkan diri kita kembali kepada Nya, dan bukan menjadikan diri kita lebih jauh dan kufur kepada Nya. 


“ Kadangkala Allah hilangkan matahari, kemudian Dia datangkan guruh. Puas kita menangis mencari di mana matahari kita, rupa-rupanya Allah ingin menghadiahkan kita pelangi yang indah. Sabarlah wahai hati, ada kemanisan di sebalik kepahitan.”


  


Wallahua’alam…